Pada zaman yang serba mencabar ini, belia seharusnya memainkan peranan yang global, sesuai dengan keadaan semasa dan tidak hanya tertumpu kepada sesuatu perkara sahaja ataupun menghadkan penglibatan kepada perkara yang mudah sahaja. Justeru, aktiviti-aktiviti tertentu haruslah mendapat sokongan daripada semua belia di kawasan tersebut mengikut peraturan-peraturan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan melalui program-program tertentu yang dianjurkan mengikut kepelbagaian fungsinya.
Hubungan yang erat dan utuh bersama masyarakat dapat memastikan jurang antara golongan muda dan golongan tua dirapatkan. Hal ini kerana ianya dapat memastikan kesinambungan yang terbaik turun-temurun untuk memastikan perancangan yang dihasilkan dapat menghasilkan output yang cemerlang setiap masa. Justeru, tidak hairanlah ada pepatah mengatakan ‘Mana ada yang muda jika tiada yang tua’. Oleh itu, dalam menentukan keberkesanan program, pendekatan bersifat menyeluruh haruslah diambil.
Penglibatan belia dalam aktiviti yang telah dirancang boleh menghindarkan mereka daripada melakukan pelbagai gejala sosial termasuk lumba haram. Selain itu, perkara ini juga dapat mengelakkan gejala yang tidak sihat dan salah laku sosial berlaku. Maka penganjuran aktiviti pada hujung minggu khususnya aktiviti beriadah seperti bermain bola sepak dapat merapatkan hubungan antara masyarakat di sekitar Kampung Tanjung. Belia akan mendapat tubuh badan yang sihat dan juga otak yang cerdas hasil daripada aktiviti tersebut. Oleh hal yang demikian, belia dapat menyerlahkan bakat dan kemahiran yang ada pada diri mereka pada tahap yang betul. Selain itu, dengan penubuhan PUSAT INTERNET 1MALAYSIA Komuniti di Kampung Tanjung, ianya dapat mendekatkan belia dengan teknologi maklumat yang menggunakan jalur lebar sebagai penghubungnya. Belia juga dapat merapatkan lagi hubungan sesama belia di kawasan lain seterusnya dapat mewujudkan semangat muhibbah, di samping dapat mempelajari ilmu yang berguna berkaitan dengan teknologi maklumat. Ianya memberikan pendedahan yang berguna kepada belia supaya mereka dapat memanfaatkan ilmu yang mereka dapati untuk kegunaan pada masa hadapan. Belia-belia ini akan memperolehi keyakinan yang mantap apabila menghadapi dunia tanpa sempadan yang memerlukan sebarang perkara dilakukan dengan berorientasikan kepada penggunaan internet. Justeru, diharapkan agar belia di kawasan Kampung Tanjung ini dapat menerima cabaran yang baru untuk bersaing dengan belia-belia di kawasan lain supaya dapat mewujudkan semangat ingin maju ke hadapan demi mencapai kegemilangan yang diimpi-impikan.
Majlis Belia Daerah Padang Terap
Mempunyai 7 badan gabungan dibawah MBDPT
1) Kelab Belia-Belia Malaysia ( MAYC )
2) Persatuan Belia 4B
3) Gabungan Pelajar Melayu semenanjung (GPMS)
4) Persatuan Belia Wawasan Daerah Padang Terap
5) Angkatan Belia Islam Malaysia ( ABIM )
6) Majlis Belia Felda Bukit Tembaga (MBFBT)
7) Majlis Belia Felda Lubuk Merbau (MBFLM)